ENGLAND 6 IRAN 2

Bukayo Saka menyumbat dua gol ketika England memulakan kempen Piala Dunia di Qatar dengan membelasah Iran 6-2 di Stadium Antarabangsa Khalifa, sebentar tadi.


Saka -– yang gagal penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir Euro 2020 tahun lalu -– mula menyeksa lawan menerusi rembatan voli untuk membantu skuad kendalian Gareth Southgate itu mendahului 3-0 dalam separuh masa pertama sebelum dia mengukuhkan kedudukan mereka selepas rehat.

Malang berganda buat Iran selepas penjaga gol, Alireza Beyranvand, terpaksa digantikan akibat kecederaan di kepala.

Jude Bellingham menggunakan situasi itu untuk merakamkan jaringan pertamanya di peringkat antarabangsa, manakala Raheem Sterling melakar gol ketiga buat The Three Lions.



Dan selepas beberapa minit jaringan kedua Saka, Mehdi Taremi menafikan rekod bersih England dengan penyudah deras untuk cuba menyalakan semula harapan mereka.

Tetapi pemain gantian, Marcus Rashford dan Jack Grealish, bertindak balas untuk England melontarkan amaran awal kepada seteru Kumpulan B yang lain walaupun Taremi menjaringkan gol kedua gergasi Asia itu daripada sepakan penalti dalam penghentian masa.