Piala Dunia Qatar: Croatia perlu peraga aksi terbaik sekat Argentina, kata Modric

Shaiful Shamsudin
December 13, 2022 01:40 MYT
Luka Modric berkata Croatia harus memperagakan permainan terbaik dalam hidup mereka demi mengatasi Argentina yang diketuai Lionel Messi dalam separuh akhir Piala Dunia, awal pagi esok.
Naib juara 2018 itu sekali lagi menampilkan prestasi luar biasa dalam merintis laluan ke pusingan kalah mati apabila menewaskan Jepun dan pasukan pilihan, Brazil, dalam penentuan sepakan penalti yang dramatik.
Croatia berpeluang menjadi pasukan kedua yang menyingkirkan Brazil dan Argentina dalam pusingan kalah mati selepas Jerman melakukannya pada 2014.
Harapan mereka untuk mara ke final mungkin bergantung kepada kemampuan mereka untuk mengekang kehebatan Messi yang telah merekodkan enam sumbangan gol dalam kempen ini.

A thread of some fresh-faced Croatian stars ? pic.twitter.com/lzRKOWxMhr

— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 11, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Walaupun Modric sedar kepentingan merantai Messi, dia memberi amaran kepada barisan kendalian Zlatko Dalic itu agar tidak memusatkan segala tenaga kepada seorang pemain semata-mata.
"Saya mempunyai keinginan untuk beraksi tetapi bukan untuk berdepan seorang pemain sahaja," katanya dalam temu bual dengan RTVE.
“Sudah tentu, Messi adalah pemain yang cemerlang, kami akan menghadapi masalah besar untuk menghalangnya tetapi kami sudah bersedia dan kami akan melakukan yang terbaik.
"Argentina merupakan pasukan yang gergasi. Kami akan cuba menampilkan permainan terbaik dalam hidup kami. Saya harap ia memadai untuk memacu kami ke final."
#Luka Modric #Argentina #Croatia #Piala Dunia Qatar