Piala Dunia Qatar: CAS buat keputusan kekalkan penyertaan Ecuador
Muzaffar Musa
November 9, 2022 10:40 MYT
November 9, 2022 10:40 MYT
Ecuador akan kekal bersaing dalam Piala Dunia Qatar 2022 bermula 20 November ini selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berpihak kepada mereka berikutan percubaan Chile dan Peru menyingkirkan negara berkenaan daripada kejohanan itu.
Chile dan Peru mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas mendedahkan Ecuador menggunakan pertahanan kanan, Byron Castillo, yang didakwa tidak layak beraksi dalam kempen kelayakan.
The Federacion de Futbol de Chile (ANPF) mengemukakan bukti bahawa Castillo dilahirkan di Colombia dan bukannya Ecuador, seperti yang tertulis dalam dokumen rasmi.
FIFA menolak kesemua dakwaan itu pada Jun lalu dan sekali lagi menolaknya ketika bukti baru dikemukakan pada September lalu tetapi Chile dan Peru kemudian membawa kes tersebut ke CAS.
Bagaimanapun, sesi pendengaran pada 4 dan 5 November lalu mendapati "tiada pelanggaran undang-undang mengenai kelayakan" telah dilakukan Ecuador, sekali gus dibenarkan untuk beraksi di Qatar bulan ini.
Ecuador, bagaimanapun akan ditolak tiga mata dalam pusingan kelayakan edisi 2026 kerana memberikan maklumat tidak tepat untuk mendapatkan pasport pemain kelahiran Colombia itu.
Pasukan Amerika Selatan itu, yang akan berdepan Qatar dalam perlawanan pembukaan, juga perlu membayar denda sebanyak 100,000 Swiss Francs (RM480,149.51).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman web rasmi mereka, Persekutuan Bolasepak Ecuador (FEF) berkata mereka mungkin akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan.
"Persekutuan Bolasepak Ecuador sedang menganalisis langkah seterusnya untuk dituruti memandangkan ia tidak menjelaskan sekatan yang dikenakan," kata kenyataan itu.
? #ComunicadoOficial - Resolución TAS
— FEF ?? (@FEFecuador) November 8, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.