Gareth Bale melaungkan bahawa dia kini di tahap 100 peratus cergas dan bersedia untuk mewakili Wales dalam Piala Dunia di Qatar selepas berdepan masalah kecederaan.

Kecergasan bekas pemain sayap Real Madrid itu menjadi kebimbangan sebelum Robert Page mengumumkan skuad 26 pemainnya untuk penampilan pertama Piala Dunia negara berkenaan dalam tempoh 64 tahun.

Bale hanya beraksi dua kali bersama Los Angeles FC sejak meninggalkan Madrid Julai lalu apabila hanya menguruskan 370 minit di atas padang.

Bagaimanapun, dia menyumbat gol penyamaan dalam masa tambahan ketika muncul sebagai pemain gantian menentang Philadelphia Union dalam perlawanan akhir Piala MLS yang dimenangi mereka menerusi sepakan penalti pada 5 November lalu.

Bale pada mulanya menghadirkan kebimbangan kem Wales selepas perlawanan akhir itu apabila berkata bahawa dia berasa tidak 100 peratus cergas tetapi bertukar nada sebelum bertolak ke Timur Tengah.

"Saya 100 peratus cergas dan bersedia untuk beraksi," kata pemain antarabangsa Wales itu kepada Sky Sports selepas mendedahkan pergelutannya berikutan isu kecil.



Bale berkata dia tidak akan berdepan masalah untuk menghadapi Amerika Syarikat, England dan Iran dalam Kumpulan B dalam tempoh sembilan hari dengan aspek mental diketepikan, sebaliknya lebih menjurus kepada fizikal.

"Saya cergas sepenuhnya dan bersedia. Jika saya perlu beraksi tiga perlawanan sepanjang 90 minit maka akan beraksi dalam tiga perlawanan selama 90 minit," tambahnya.

"Ia adalah sukar, ia lebih kepada mental daripada segala-galanya.

“Saya rasa bagi semua orang, tiga atau empat minggu lalu adalah sukar, malah ada pemain tercedera dan terlepas Piala Dunia.

"Bercakap dengan beberapa pemain, walaupun mereka terpaksa bermain hujung minggu lalu adalah sukar daripada segi mental.

"Dan kami hanya berdoa agar tidak mengalami kecederaan kerana ini adalah temasya yang besar."