Piala Dunia Qatar: Antoine Griezmann rendah diri setanding rekod Zinedine Zidane

Shaiful Shamsudin
November 26, 2022 06:44 MYT
PERANCIS 2 DENMARK 1
Antoine Griezmann bangga dapat menandingi Zinedine Zidane untuk membantu Perancis sambil menyifatkan kemenangan mereka ke atas Denmark, sebentar tadi, sebagai persembahan berpasukan.
Dua gol sumbangan Kylian Mbappe menyaksikan juara bertahan itu menempah tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia di Qatar menerusi kemenangan 2-1, sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan D berbaki satu perlawanan.
Griezmann membekalkan hantaran penting buat penyerang itu yang bertindak membatalkan gol penyamaan Andreas Christensen untuk mencetak 26 bantuan jaringan buat negaranya.
Justeru, Griezmann kini setaraf dengan legenda negaranya itu, Zidane, dan biarpun dia gembira dapat menyamai pencapaian berkenaan, dia mahu memberi pujian kepada skuad bimbingan Didier Deschamps tersebut secara keseluruhan.
"Saya sangat berbangga dengan catatan (bantuan jaringan) yang dikumpul," katanya kepada TF1.
“Tetapi saya menegaskan (ia adalah) kerja berpasukan, bukan kerana serangan mahu pun bertahan saya.
"Memang wujud statistik jika kita hanya bersandarkan perkara ini. Tetapi semua orang melakukan usaha yang luar biasa malam ini. Adalah sangat penting untuk menang dan layak."
#Antoine Griezmann #Perancis #Piala Dunia Qatar
;