Piala Dunia Kelab: Tuchel puji semangat juang Chelsea untuk bergelar juara
Muzaffar Musa
February 13, 2022 08:57 MYT
February 13, 2022 08:57 MYT
Thomas Tuchel berasakan Chelsea layak bergelar juara Piala Dunia Kelab dan mencabar pasukannya untuk terus menambah koleksi gelaran mereka sehingga penghujung musim ini.
Kai Havertz menyempurnakan sepakan penalti pada lewat masa tambahan untuk memastikan kemenangan 2-1 Chelsea ke atas juara Copa Libertadores, Palmeiras, di Abu Dhabi awal pagi tadi.
Ia menambah koleksi kejuaraan The Blues selepas mereka turut menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Super UEFA tahun lalu.
Tuchel, yang sebelum ini tidak dapat menghadiri perlawanan separuh akhir menentang Al Hilal kerana positif COVID-19, memuji kesungguhan pemainnya mencari gol kemenangan sehingga ke masa tambahan.
Ketika dia mengakui Chelsea memerlukan sedikit tuah dengan jaringan sepakan penalti itu, bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan menganggap kemenangan itu sememangnya layak buat pasukannya.
"Anda memerlukan tuah untuk menjaringkan gol lewat permainan tetapi kami tidak putus asa dan tidak berhenti berusaha," kata Tuchel kepada Channel 4 mengenai perlawanan itu, di mana jaringan pembukaan Romelu Lukaku dipadamkan sepakan penalti Raphael Veiga.
"Kami tidak putus asa. Kami mempunyai kelebihan, kemudian melepaskannya tetapi kami tidak pernah berhenti. Ia selayaknya tetapi terdapat juga tuah buat kami untuk menjaringkan gol lewat permainan.
"Sepakan penalti, Havertz tidak kelihatan gementar tetapi sudah pasti dia berasa seperti itu.
"Anda tidak mungkin tidak gementar dalam situasi itu. Kami percaya kepada statistik dan gembira untuknya," katanya.
We've won it all. ? pic.twitter.com/rE5k5yV6RM
— Chelsea FC (@ChelseaFC) February 12, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.