Piala Dunia Kelab sasaran seterusnya Pep Guardiola bersama Manchester City
Muzaffar Musa
August 17, 2023 13:26 MYT
August 17, 2023 13:26 MYT
Pep Guardiola kini menyasarkan gelaran Piala Dunia Kelab untuk melengkapkan kejayaannya bersama Manchester City selepas bergelar juara Piala Super UEFA dengan menewaskan Sevilla di Greece awal pagi tadi.
Dua bulan selepas mencipta sejarah sebagai pasukan Inggeris kedua meraih kejuaraan 'treble' semusim, pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu kelihatan bergelut menewaskan juara Liga Europa (UEL), Sevilla.
Sevilla mendahului menerusi tandukan Youssef En-Nesyri dan memiliki rangkaian peluang terhidang sebelum City bangkit hasil gol tandukan Cole Palmer.
Dengan kedudukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit, pasukan bimbingan Guardiola itu muncul pemenang selepas mengungguli penentuan sepakan penalti 5-4 apabila sepakan Nemanja Gudelj terkena palang gol.
??????????????? pic.twitter.com/t166htt6hL
— Manchester City (@ManCity) August 16, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ia merupakan kali pertama City memenangi kejohanan itu dan pengurus berbangsa Sepanyol berkenaan bertekad untuk menambah trofi Piala Dunia Kelab dalam kabinet pasukan itu pada Disember depan.
"Sudah pasti kami tidak melalui waktu terbaik kami, saya boleh katakan seperti itu," kata Guardiola selepas memenangi Piala Super UEFA keempatnya sepanjang bergelar ketua jurulatih.
"Tetapi dengan mengenali pemain dan mentaliti staf belakang tabir, saya dapat rasakan kami akan mencuba untuk melakukannya.
"Kami amat gembira sudah memenangi satu gelaran musim ini. Amat gembira buat kelab ini -- kami sebelum ini tidak memiliki gelaran ini dan kami kini memilikinya.
"Kami kini kekurangan satu lagi gelaran untuk melengkapkan kitaran ini dan untuk memastikan kelab ini dapat memenangi segala gelaran yang ditawarkan.
"Ia akan berlaku pada Disember ini, kami akan ke Arab Saudi untuk bermain di sana, dalam Piala Dunia Kelab," katanya.