Piala Dunia: Gotze ada kualiti untuk kembali perkuat Jerman, kata Low
Muzaffar Musa
June 23, 2022 10:35 MYT
June 23, 2022 10:35 MYT
Mario Gotze mempunyai kualiti untuk kembali memacu skuad Jerman menjelang Piala Dunia Qatar pada November depan, kata bekas ketua jurulatih Die Mannschaft, Joachim Low.
Gotze melakukan 63 penampilan buat negaranya dan menjaringkan gol masa tambahan sewaktu menewaskan Argentina dalam final Piala Dunia 2014 untuk Jerman menjulang trofi terbesar itu buat kali keempat.
Bagaimanapun, pemain tengah kreatif itu tidak pernah beraksi di peringkat antarabangsa sejak November 2017.
Ia disebabkan oleh kurangnya kejayaan di peringkat kelab buat bekas bintang Borussia Dortmund dan Bayern Munich itu, yang meninggalkan PSV untuk menyertai Eintracht Frankfurt musim depan.
Dengan akan kembali ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama juara Liga Europa (UEL), Eintracht, di samping kepulangan ke saingan Bundesliga, pemain berusia 30 tahun itu kelihatan berharap untuk kembali menyarung jersi Jerman.
Low, yang membimbing Jerman bergelar juara dunia sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang 15 tahun berkhidmat, berkata Gotze mempunyai bakat yang boleh dipertaruhkan pasukan bimbingan Hansi Flick berkenaan menjelang Piala Dunia Qatar 2022.
"Dia mempunyai segala kualiti," kata Low kepada Sky Germany.
"Dia akan bermain dalam UCL sekali lagi, dia akan menjadi tumpuan dalam Bundesliga dan dia mahu mencuri tumpuan untuk ke Piala Dunia."
✍️? Eintracht Frankfurt have signed Mario Götze from @psveindhoven on a three-year contract until 2025.#Götze2025 #SGE
— Europa League Winners 2022 (@eintracht_eng) June 21, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Gotze menghasilkan 12 gol dan 11 bantuan jaringan dalam kesemua kejohanan buat PSV sepanjang musim 2021, di mana dia beraksi dalam 52 perlawanan dan dilaporkan turut menarik minat pasukan gergasi Serie A, AC Milan.
Eintracht kemudian sah mendapatkan khidmatnya, di mana Oliver Glasner sedang memperkuatkan pasukan bagi memberikan saingan di peringkat Eropah tetapi keputusan itu jelas sesuatu yang mengejutkan Low.
"Sudah pasti saya tidak menjangkakan Mario akan pulang ke Jerman, bukan pada ketika ini.
"Tetapi saya amat gembira buat Mario dan Eintracht.
"Mario seorang pemain yang luar biasa, amat profesional dan dengan kebijaksanaannya, dia amat sesuai untuk bermain buat Eintracht," tambahnya.