Piala Dunia 2022: Pepe tidak tolak wakili Portugal pada umur 39 tahun
Shaiful Shamsudin
October 10, 2020 07:43 MYT
October 10, 2020 07:43 MYT
Pertahanan Portugal, Pepe, mengintai cabaran dalam Piala Dunia di Qatar pada 2022 sungguhpun dia sudah berusia 39 tahun ketika itu.
Bekas tonggak Real Madrid itu, yang kini bersama Porto, telah memenangi 111 kemunculan bersama Portugal sejak membuat penampilan pertama pada 2007.
Dia telah menyertai tiga edisi Piala Dunia dan tiga Kejohanan Eropah termasuk kejayaan dalam kempen Euro 2016 di Perancis.
Pepe dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan atas persembahannya dalam kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah dalam pertemuan final itu, di mana dia mematahkan 12 percubaan dan membuat tiga hadangan untuk membuatkan Perancis kempunan selepas berjuang 120 minit.
Persaingan untuk memperkasakan benteng dalam skuad kendalian Fernando Santos itu semakin sengit. Pepe memulakan perlawanan di samping Ruben Semedo sebelum ditukarkan dengan pemain yang baru ditandatangi Manchester City, Ruben Dias, ketika mereka terikat 0-0 dengan Sepanyol, Khamis lalu.
Namun, Pepe belum bersedia untuk menolak peluang beraksi dalam Piala Dunia berikutnya yang akan bermula tiga bulan sebelum ulang tahunnya yang ke-40.
"Anda tidak akan dapat menduganya," katanya kepada wartawan menjelang perlawanan Portugal dengan Perancis dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL), awal pagi esok.
"Saya kini fokus kepada perlawanan seterusnya, itu yang paling penting.
"Saya bukan sahaja sedar berapa umur saya malah apa yang mampu saya tawarkan.Saya gembira melihat terdapat pemain muda yang mampu menyumbang kepada pasukan kebangsaan.
"Ada banyak kualiti dalam pasukan ini dan kami semua harus saling melakukan yang terbaik di kelab masing-masing dan apabila terpilih mewakili negara, kami sudah sedia membantu."
Pepe: "We poured our blood, sweat and tears into this."#EURO2016 pic.twitter.com/jcfOechx3H
— UEFA Nations League (@EURO2020) July 10, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Penjaga gawang Portugal, Anthony Lopes, terlepas pertembungan itu apabila terpaksa meninggalkan pasukan berikutan positif COVID-19.
Pepe mengatakan pemain kini perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan seperti itu dan menegaskan kebimbangan mengenai virus berkenaan sama sekali tidak mengganggu fokus sebaik mereka memasuki padang.
"Inilah realitinya, Inilah keadaan dunia dan kita semua tahu apa yang boleh berlaku. Kami sudah bersedia," katanya.
"Situasi ini tidak hanya melibatkan bola sepak. Apabila kami di atas padang, kami tidak memikirkannya, kami hanya fikir untuk menang dan membantu pasukan kebangsaan. Begitulah cara saya berfikir dan saya percaya rakan sepasukan juga begitu."