Piala Asia: Iran tepati ramalan lepasi peringkat kumpulan atasi Hong Kong
Muzaffar Musa
January 20, 2024 10:08 MYT
January 20, 2024 10:08 MYT
HONG KONG 0 IRAN 1
Iran mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Piala Asia Qatar apabila meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Hong Kong dalam aksi kedua Kumpulan C di Stadium Antarabangsa Khalifa awal pagi tadi.
Rekod di atas kertas jelas menunjukkan kedua-dua pasukan itu bukan lawan setara, di mana Iran menduduki ranking ke-21 dunia manakala Hong Kong pula di tangga ke-150 dunia.
Iran, yang menewaskan Palestin 4-1 dalam aksi terdahulu, kelihatan akan mudah meraih kemenangan ke atas Hong Kong tetapi mereka seolah-olah beraksi di bawah tahap sebenar.
Bahkan Hong Kong, yang kali pertama beraksi di pentas Piala Asia selepas 55 tahun, terlebih dahulu memberikan ancaman melalui percubaan Everton Camargo, yang melewati palang gol.
Iran, bagaimanapun, memperoleh gol pembukaan pada minit ke-24 apabila Mehdi Ghayedi merembat masuk bola dari dalam kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol, Yapp Hung Fai.
Hong Kong, yang tewas 1-3 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan pertama, terus memberikan saingan kepada Iran sehingga ke penghujung permainan tetapi tiada jaringan penyamaan terhasil, sekali gus membenarkan Team Melli ke pusingan kalah mati.
Iran seterusnya akan berdepan UAE manakala Hong Kong pula akan menghadapi Palestine dalam aksi terakhir Kumpulan C pada Selasa ini.