Piala Asia: Iran cemas sebelum singkir Syria dalam penentuan penalti
Muzaffar Musa
February 1, 2024 09:42 MYT
February 1, 2024 09:42 MYT
IRAN 1 SYRIA 1
(Iran menang penentuan penalti 5-3 untuk ke suku akhir)
Pasukan nombor dua Asia, Iran, berdepan detik cemas sebelum mara ke suku akhir Piala Asia Qatar 2023 dengan mengatasi Syria 5-3 dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Abdullah bin Khalifa, Doha awal pagi tadi.
Bahkan, juara tiga kali itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mehdi Taremi dilayangkan kad merah dalam waktu kecederaan separuh masa kedua ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga ke penghujung masa tambahan.
Taremi sebelum itu meletakkan Iran di depan dengan menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-34 selepas dia dikasari oleh Aiham Ousou.
Syria kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-64, juga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Omar Khrbin selepas Pablo Sabbag dijatuhkan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand.
Syria, yang melakukan penampilan pertama dalam pusingan kalah mati Piala Asia, mendapat kelebihan pada penghujung waktu sebenar selepas Taremi dilayangkan kad kuning kedua.
Dalam penentuan penalti, Beiranvand menggagalkan sepakan Fahd Youssef sambil Iran menyempurnakan kesemua tendangan mereka untuk layak ke suku akhir buat kali kelapan berturut-turut.
Mereka seterusnya akan bertemu pasukan nombor satu Asia, Jepun, bagi penentuan ke separuh akhir pada Sabtu ini.
?? Alireza Beiranvand is Mr. Popular tonight! #AsianCup2023 | #HayyaAsia | #IRNvSYR pic.twitter.com/MB0GbXymJQ
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) January 31, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.