Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengharapkan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) dapat bangkit dalam dua perlawanan terakhir menentang Vietnam dan Kuwait pada aksi Piala Asia B-23 di Qatar.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata, badan induk itu meletakkan sokongan dan harapan agar pasukan dapat menjelmakan keputusan positif bermula aksi menentang Vietnam malam ini.

Menurutnya, beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemain sehingga tewas pada aksi pertama menentang Uzbekistan harus diperbaiki sekali gus menyalakan kembali harapan mara ke pusingan seterusnya.

"Saya harap untuk dua lagi baki perlawanan ini, sesuatu dapat dilakukan oleh pengurusan pasukan dan juga jurulatih bagi mengelakkan kesilapan dilakukan pada perlawanan pertama berulang.

"Semoga mereka boleh meneruskan saingan baki dua perlawanan ini atau tampil lebih baik daripada aksi pertama.

"Kita boleh berharap sesuatu dapat dilakukan jurulatih untuk mengubah keadaan pasukan itu atau menyediakan pasukan ke arah lebih baik," katanya.

Mohd Yusoff mengakui skuad Harimau Muda akan berdepan cabaran besar menentang Vietnam selepas pasukan lawan itu tampil dengan kemenangan bergaya ke atas Kuwait pada perlawanan pertama.

"Kita tahu Vietnam pun sebuah pasukan yang kuat kerana mereka menang dengan Kuwait. Kuwait yang akan kita lawan pada perlawanan terakhir pun bukan pasukan yang mudah..

"Saya rasa memang agak mencabar, tetapi pada akhirnya kita ingin melihat pasukan kita memberikan cabaran dalam baki dua perlawanan ini," katanya.-Sinar