Piala AMEC: Timor-Leste buat 'kerja rumah' hadapi Harimau Malaya di SNBJ

Saufi Tahir
December 10, 2024 12:01 MYT
Pengendali Timor-Leste, Simon Ellechette, menjadikan Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 sebagai medan terbaik dalam meningkatkan prestasi skuad kendaliannya agar lebih kompetitif dari masa ke semasa.
Ketika wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, bertanya mengenai sasarannya menentang skuad negara, jurulatih berusia 47 tahun itu menjelaskan: "Jika bermain bola sepak, anda pasti mahu sentiasa menang, tetapi dapat meraih keputusan seri juga baik apatah lagi jika menang.
"Sekiranya kami tewas tetapi beraksi dengan lebih baik daripada perlawanan sebelum ini, ia juga sangat bagus buat kami kerana Timor-Leste sukar melakar kemenangan dalam kejohanan ini.
"Jangkaan saya (Timor-Leste) beraksi lebih baik daripada perlawanan sebelum ini," katanya.
Simon turut menjelaskan telah membuat persediaan menjelang aksi berdepan Harimau Malaya untuk memberikan cabaran yang lebih baik berbanding aksi sebelum ini.
Untuk rekod, Timor-Leste tewas 0-10 berdepan Thailand dalam aksi pembukaan Kumpulan A.
"Kami telah membuat persediaan menentang Malaysia, kami tahu kami akan berdepan pasukan yang baik dengan potensi mereka. kami berharap dapat beraksi lebih baik daripada aksi sebelum ini.
"Kami datang ke kejohanan ini untuk belajar, untuk tumbuh dan tingkatkan prestasi kami kerana kami pasukan yang kurang bagus dalam kejohanan sebelum ini. Kami berharap dapat beraksi dengan lebih baik berdepan Malaysia." tambahnya.
#bola sepak #Harimau Malaya #Timor-Leste #Piala AMEC
;