Piala AMEC: Harith Haiqal, Haziq Aiman & Haykal Danish dipanggil sertai skuad negara
Ammar Hakim
December 5, 2024 20:08 MYT
December 5, 2024 20:08 MYT
Pemain pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar dan penjaga gol Johor Darul Ta'zim II, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti bagi menyertai kem skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.
Harith Haiqal, 22, menggantikan pemain Negeri Sembilan FC, Muhammad Harith Samsuri, 24, yang mengalami kecederaan manakala Haziq Aiman, 19, pula menggantikan penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim, 23, kerana masalah kesihatan.
Sementara seorang lagi pemain iaitu Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, 19, dari Selangor FC B-23 turut dipanggil menyertai kem skuad Harimau Malaya sebagai pemain tambahan jika berlaku kecederaan atau sebarang kemungkinan ke atas pemain-pemain lain.
Senarai akhir 26 pemain untuk didaftarkan bagi kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 hanya akan dimuktamad pada Sabtu, 7 Disember 2024, sehari sebelum perlawanan pertama Kumpulan A, Malaysia bertemu Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad, 8 Disember 2024.