Piala AMEC: Ada pemain yang tidak mencapai standard kebangsaan
Najmi Iman
December 9, 2024 18:28 MYT
December 9, 2024 18:28 MYT
Bekas pemain kebangsaan, Nizaruddin Yusof, menyifatkan beberapa pemain tidak mencapai standard sebagai tonggak kebangsaan dalam Kejohanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024.
Perkara itu dijelaskan berdasarkan keputusan seri 2-2 Harimau Malaya bertemu Kemboja yang menimbulkan kekecewaan peminat tempatan di Phnom Penh, semalam.
Selain dibarisi ramai muka baru, Nizaruddin mempersoalkan semangat pemain yang kali pertama dipanggil seeloknya mempamerkan prestasi terbaik dengan gerakan berbahaya.
"Pemain yang dipanggil sepatutnya memberikan yang terbaik. Daripada segi stamina dan momentum permainan tidak menjadi isu kerana liga sedang berjalan dan pemain mendapat minit permainan.
"Cuma, aksi kedua di Bukit Jalil harus lebih berani dan jurulatih mesti membuat penggiliran supaya pemain lain mampu memberi impak yang berbeza.
"Ada beberapa pemain yang tidak mencapai piawaian dalam Piala AMEC ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.
Dalam masa sama, Razman Roslan turut menggesa skuad negara memperbaiki beberapa kesilapan untuk perlawanan akan datang.
"Saya tidak kata Malaysia memerlukan pemain muda sebaliknya menginginkan tonggak yang mempunyai kemahuan untuk menyerang dan menjaringkan gol.
"Harimau Malaya memerlukan pemain yang berintensiti tinggi jika tidak mahu dihukum.
"Sudah pasti Timor Leste mahu bangkit selepas tewas kepada Thailand 0-10. Malaysia harus lebih bekerja keras," katanya di Nadi Arena.