Piala AMEC: 12 kelab Liga Super bentuk Harimau Malaya

Shaiful Shamsudin
November 29, 2024 18:46 MYT
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, mendapat kerjasama daripada 12 kelab Liga Super untuk mengharungi Piala AMEC bulan depan.
12 daripada skuad 26 pemain yang diuji Laos dan India, dua minggu lalu, dikekalkan bagi mengimbangi pemain berpengalaman dan muda untuk mengharungi saingan Kumpulan B yang turut mengandungi juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.
Sabah melepaskan empat pemain utama untuk panggilan skuad kebangsaan.Dominic Tan, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Darren Lok akan memperkuatkan cabaran di luar kalendar FIFA ini sementara pemenang Gol Terbaik Piala Asia 2023, Faisal Halim, tidak tersenarai.
Selangor sebaliknya mempunyai tiga wakil iaitu Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Khuzaimi Piee dan Aiman Hakimi Othman.
Najmudin Akmal, G Pavithran dan Daryl Sham daripada kem Gergasi Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut akan menyertai kempen kali ini.
Percaturan di posisi penjaga gol menyaksikan Haziq Nazli memiliki kelebihan minit permainan bersama Perak berbanding Kalamullah dan pemain Terengganu, Rahadiazli Rahalim.
Skuad negara akan mula melaporkan diri Khamis depan sebelum berlepas ke Phnom Penh, Kemboja, sehari kemudian.
Skuad negara akan membuka tirai kempen bertemu tuan rumah pada Ahad depan dan boleh membuat pertukaran dalam kalangan senarai 50 pemain sekiranya terdapat isu kecederaan.
Senarai akhir 26 pemain akan dimuktamadkan Sabtu depan.
Dalam masa sama, tiga pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Endrick Dos Sanbtos (Ho Chi Minh City), Fergus Tierney (Chonburi) dan Abu Khalil (Osaka) turut akan memperkuatkan cabaran Harimau Malaya.
#liga super #Piala ASEAN #Piala AMEC
;