Piala AFF: Sergio Aguero sedia pikat hati Kim Pan-gon

Muzaffar Musa
December 1, 2022 20:23 MYT
Penyerang naturalisasi negara, Sergio Aguero, mengakui teruja menerima panggilan sulung untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang saingan Piala AFF bermula 20 Disember ini.
Penyerang kelahiran Argentina itu menagih kepercayaan semua pihak agar dapat memberikan sokongan buat barisan pemain dalam edisi kali ini, yang rata-ratanya terdiri daripada muka baru.
Tegasnya, dia bersedia untuk memberikan segala yang termampu jika terpilih untuk menyarung jersi negara.
Walaupun tidak memiliki minit permainan yang mencukupi dalam saingan domestik, Aguero percaya dia masih berada dalam keadaan terbaik daripada segi mental dan fizikal.
Fokusnya ketika ini adalah untuk menambat hati ketua jurulatih, Kim Pan-gon, bagi mendapatkan penampilan pertama bersama Harimau Malaya.
Sebagai rekod, Aguero salah seorang daripada dua pemain naturalisasi yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini, di samping seorang lagi pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck.
"Ia sukar, ia benar-benar sukar tanpa minit permainan di atas padang tetapi saya masih berlatih setiap hari," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Saya perlu sentiasa bersedia, saya tidak ada sebarang alasan. Saya tahu saya tidak banyak bermain dan ia sukar tanpa minit permainan tetapi saya sudah bersedia untuk menghadapinya.
"Sasaran saya ketika ini adalah untuk terpilih sebagai 23 pemain terakhir bagi Piala AFF.
"Kemudian, saya mahu membuktikan kepada jurulatih yang memberikan saya kepercayaan dan keyakinan untuk berada di sini dan saya mahu mewakili negara," katanya.
#bola sepak #Sergio Aguero #Piala AFF #Sri Pahang FC
;