Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan, menolak keputusan pengadil, Ryuji Sato, sebagai punca utama kekalahan Malaysia, malam tadi.

Walaupun hakikatnya ini bukan kali pertama pengadil dari Jepun itu menghampakan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Bagi Brendan, peluang negara untuk meneruskan kemaraan dalam kempen Piala AFF 2022 masih belum berakhir.

Apa yang perlu dilakukan adalah terus fokus kerana memikirkan apa yang
berlaku di Hanoi hanya menambah luka di hati.

Setahun yang lalu, isu serupa berlaku dalam kelayakan Piala Dunia membabitkan pertembungan di antara Malaysia dan skuad Naga Emas itu yang diadili pengadil terbabit di Dubai.

Brendan antara watak utama yang mencetuskan jaringan sepakan penalti buat Vietnam bag meletakkan kemenangan 2-1 Vietnam ketika itu.

Mengimbau apa yang berlaku di Dubai dan skrip hampir sama di Stadium My Dinh malam tadi, Brendan tidak mahu ia terus berlanjutan memandangkan ada tugasan lebih penting di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa depan.





Baginya, Malaysia turut memiliki peluang dalam tempoh 90 minit, apatah lagi pihak lawan tempang apabila Nguyen Van Toan dibuang padang sejak minit ke-33.

Dan seandainya peluang terhidang itu disempurnakan, sudah pastinya keadaan boleh bertukar dan Harimau Malaya di sebalik keputusan kontroversi Sato melayangkan kad merah kepada Azam Azmi Murad berhubung kekasaran terhadap Doan Van Hau di luar kotak penalti, secara tidak langsung mengundang sepakan penalti untuk tuan rumah mendahului 2-0 pada minit ke-62.