BRUNEI 0 THAILAND 5

Juara bertahan, Thailand, tidak berdepan masalah untuk memulakan kempen Piala AFF 2022 dengan nota kemenangan apabila membelasah Brunei 5-0 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium KLFA, Cheras sebentar tadi.

Bordin Phala terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-19 sebelum penyerang legenda, Teerasil Dangda, menggandakan kelebihan itu pada minit ke-44 untuk Gajah Perang ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol.

Brunei bertahan lebih kental dalam babak kedua dan memberikan kesukaran buat Thailand untuk memecahkan benteng mereka tetapi segalanya berubah selepas Awangku Yura Indera Putra Pengiran Yunus terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-88.

Runtuhnya tembok pertahanan itu menyaksikan Peeradon Chamratsamee memanfaatkan sepenuhnya situasi berkenaan untuk menjaringkan dua gol peribadi dalam waktu kecederaan, masing-masing pada minit ke-91 (tendangan penalti) dan minit ke-93.

Dengan kemenangan itu, Thailand muncul pendahulu Kumpulan A selepas hari perlawanan pertama di depan Kemboja, yang turut mencatatkan kemenangan dengan mengejutkan Filipina 3-2 di laman sendiri petang tadi.