Sabah FC mahu memanfaatkan perlawanan persahabatan menentang Brunei Darussalam di Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah hari ini sebagai pentas persiapan rapi sebelum menyingkap Kejuaraan Piala AFC.

Malah, penolong pengendali The Rhinos, Rastislav Bozik juga mahu para pemain yang kurang beraksi sebelum ini mengunakan perlawanan itu sebagai medan meraih minit perlawanan.

"Ini merupakan peluang terbaik untuk para pemain yang kurang mendapat minit permainan mendapatkan semula mood masing-masing selepas beberapa pemain utama Sabah dipanggil menggalas cabaran bersama skuad Harimau Malaya.

“Paling penting pemain perlu memanfaatkan peluang diturunkan dalam perlawanan untuk membuktikan keupayaan masing-masing sebagai persiapan untuk bersaing dalam Piala AFC meskipun kami akan beraksi tanpa beberapa pemain utama,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan semalam.



Sementara itu, kapten The Rhinos, Khairul Fahmi Che Mat, juga mahu rakan sepasukan mengambil serius dan fokus dalam perlawanan tersebut sebelum bersaing dalam Kejuaraan AFC dengan membuka kempen bertemu Hougang pada 21 September ini.

"Kami akan bermain dalam Kejuaraan AFC, jadi perlawanan menentang Brunei perlu diberikan perhatian apatah lagi ia satu aksi kompetitif dan persiapan yang baik buat Sabah FC,” katanya.

Kredit: Sinar Harian