Kalvin Phillips kembali daripada Piala Dunia dengan 'kegemukan' dan tidak bersedia untuk diturunkan ketika menentang Liverpool, kata pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Pemain tengah itu melalui musim yang mengecewakan kerana kecederaan sejak tiba di Stadium Etihad daripada Leeds United dalam jendela perpindahan lalu.

Phillips, bagaimanapun, dipilih oleh Gareth Southgate untuk mewakili England dalam Piala Dunia Qatar 2022 tetapi dia hanya beraksi selama 40 minit sebelum England disingkirkan Perancis dalam suku akhir.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang hanya dapat melakukan satu penampilan sebagai pemain gantian dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat City, tidak diturunkan ketika mereka menewaskan Liverpool dalam pusingan keempat Piala EFL semalam.

Ketika rakan sepasukannya di England seperti Jack Grealish, John Stones dan Phil Foden diturunkan dalam perlawanan itu, Guardiola mendedahkan bahawa tahap kecergasan Phillips masih berada di bawah standard yang diharapkan.

"Dia tidak cedera. Dia tiba dengan kegemukan. Saya tidak tahu mengapa," kata Guardiola ketika ditanya mengenai ketiadaan Phillips dalam perlawanan itu.

"Dia tidak berada dalam keadaan yang sesuai untuk sesi latihan dan bermain.

"Apabila dia sudah bersedia, dia akan bermain kerana kami memerlukannya, kami amat memerlukannya," katanya.