Pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Phil Foden, mendedahkan dia mahu terus bermain di bawah kendalian ketua jurulatih, Pep Guardiola, pada masa akan datang.

Sebagai umum, kontrak jurulatih berusia 54 tahun itu akan berakhir pada penghujung musim depan sambil memberi bayangan akan meninggalkan Stadium Etihad daripada kekal.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa malah mengelak untuk berfikir mengenai perkara ini. Tetapi, yang pasti suasana akan menjadi berlainan jika dia pergi.

"Sudah dijangka pasukan-pasukan lain sedang mengintainya jadi saya mahu menikmati segala masa bersamanya sekarang.

"Dia sangat mempercayai setiap pemain di sini. Sebagai jurulatih berpengalaman, saya banyak belajar dan menerima nasihat yang diberikan," kata pemain kebangsaan England kepada BBC Sport.