MALAYSIA B17 2 UZBEKISTAN B17 3

Skuad B-17 negara tewas tipis kepada Uzbekistan dalam perlawanan persahabatan tier 2 di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.

Pelawat membuka jaringan seawal minit ke-12 apabila ketua pasukan, Mirzaev Lazizbek, bijak melakukan gerakan satu dua dengan rakan sepasukannya untuk mengatasi tiga pertahanan Malaysia sebelum tenang melakukan penyudah.

Farish Danish Mohd Asrul, bagaimanapun, memastikan skuad negara tidak lama ketinggalan apabila menyamakan kedudukan dengan memanfaatkan bola muntah susulan satu gerakan 'set-piece' pada minit ke-18.

Malaysia sekali lagi berdepan masalah pada awal babak kedua untuk dihukum Uktamov Ozodbek, yang melepaskan rembatan leret jarak jauh menerjah ke jaring skuad negara pada minit ke-66.

Berselang empat minit, Uzbekistan kian selesa memimpin perlawanan selepas Karimov Ollabergan menjaringkan gol ketiga mereka hasil satu sepakan percuma lencong.

Ryan Fahreen kemudian merapatkan jurang buat skuad negara pada minit ke-79 tetapi ia masih belum cukup untuk menyekat kemenangan Uzbekistan.

Seterusnya, skuad B-17 negara akan berdepan Arab Saudi dalam satu lagi aksi persahabatan pada Jumaat ini sebagai persiapan sebelum menghadapi Kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok pertengahan bulan ini.

Sebagai rekod, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Thailand, selain Yaman dan Laos bagi kejohanan peringkat benua itu.