Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai 27 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat bagi aksi persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Kuala Terengganu pertengahan bulan ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, FAM memaklumkan bahawa kapten Harimau Malaya, Dion Cools, tidak dapat menyertai kem latihan kali ini kerana melangsungkan majlis perkahwinannya.

Turut mencuri tumpuan adalah penyenaraian semula pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa, yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan sewaktu era Tan Cheng Hoe pada 2018.

Selain itu, pemain muda Selangor, Syahir Bashah, turut diberikan panggilan kebangsaan pertama sambil Junior Eldstal, Shahrel Fikri Md Fauzi dan penjaga gol, Azri Ab Ghani, juga dipanggil semula.

Seperti yang dijangkakan, pemain dari JDT mendominasi panggilan kali ini dengan 13 daripada senarai keseluruhan, antaranya penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, dan dua bintang muda, Arif Aiman Hanapi dan Feroz Baharudin.

Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim, turut tersenarai bersama pemain yang berpangkalan di Eropah, Nooa Laine.

Malaysia akan menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 14 Jun ini sebelum menghadapi Papua New Guinea enam hari kemudian.