Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, tetap menghargai komitmen yang dipamerkan pasukannya walaupun sekadar mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Turkmenistan semalam.

Bagi Pan-gon, kesemua pemainnya telah memberikan yang terbaik sepanjang aksi persahabatan tier 1 di Iskandar Putri itu walaupun ada dalam kalangan mereka masih belum dapat memenuhi permintaan tingginya di atas padang.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, Akhyar Rashid muncul wira negara menerusi penyudah gemilangnya pada minit ke-29.

"Pada sesetengah bahagian, kami sentiasa menunjukkan permulaan yang baik," katanya dalam sidang media.

"Seperti yang anda dapat lihat, ada pemain yang kekejangan, dengan rentak pantas seperti ini -- di mana saya memang meminta satu permainan yang banyak larian, tekanan dan peralihan.

"Ia satu permintaan yang besar dan ada pemain yang tidak dapat memenuhinya, jadi kami perlu memperbaikinya.

"Kerana kecergasan dalam permainan amat penting. Saya faham ia masih awal musim dan ini baru perlawanan pertama kami.

"Harap-harap menjelang Jun hingga September depan ia akan menjadi lebih baik.

"Saya tidak boleh banyak merungut kerana saya meminta sesuatu yang amat besar.

"Anda dapat dengar saya sentiasa menjerit dan mereka terpaksa berlari, jadi kita perlu memberikan pujian buat mereka.

"Saya rasa bersalah kerana saya terlalu mendesak mereka. Saya fikir kita tidak boleh merungut," katanya.