Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, mengakui teruja apabila buat kali pertama akan melatih pemain yang berpuasa menjelang satu perlawanan bola sepak.

Menurut Pan-gon, dia dan barisan kejurulatihannya benar-benar mahu menyaksikan bagaimana pemain menjalani latihan dan beraksi dalam bulan puasa.

"Ini merupakan kali pertama saya dan barisan kejurulatihan mengendalikan latihan pasukan dalam bulan Ramadan.

"Oleh itu, saya dan barisan kejurulatihan mahu tahu apa yang pemain boleh lakukan di bulan Ramadan ini.

"Antaranya nutrisi yang mereka (pemain) ambil, selain bagaimana mereka bersedia daripada segi fizikal dan mental ketika berpuasa," katanya.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok sebelum berdepan Hong Kong di venue sama pada 28 Mac ini.

Sementara itu, Pan-gon berkata pihaknya juga tidak memberikan keutamaan kepada keputusan perlawanan tetapi lebih mementingkan kepada persembahan pemain.

Katanya, siapa sahaja yang diturunkan nanti perlu memberikan aksi yang terbaik di sepannjang perlawanan.

"Bukan keputusan yang kita cari...tetapi persembahan dan prestasi pemain yang kita mahu saksikan.

"Oleh itu, mana-mana pemain yang beraksi malam esok (Khamis), diharap dapat memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan," kata beliau.

Kredit: Sinar Harian