Pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim, berazam untuk meledak jaringan ketika berdepan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa depan.

Ia selepas kegagalannya menjaringkan sebarang gol dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Menurut Faisal, kegagalannya menjaringkan gol dalam aksi persahabatan itu memberikan sedikit tekanan kepadanya, yang masih belum meledak sebarang jaringan dalam saingan Liga Super musim ini.

Justeru, dia akan mencuba sedaya-upaya termasuk mempertingkatkan lagi kualiti permainannya dalam usaha merobek gawang lawan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 kedua itu nanti, sekali gus membantu kemenangan pasukan.


"Belum ada rezeki (jaringkan gol) nak buat macam mana...saya pun sudah beri yang terbaik dalam perlawanan kali ini (menentang Turkmenistan).

“Namun, bagi saya, apa yang penting pasukan kita menang...Alhamdulillah, saya juga bersyukur walaupun menang tipis 1-0 dan tak kisahlah siapa juga yang jaringkan gol,” katanya selepas perlawanan itu.

Skuad negara menewaskan Turkmenistan 1-0 hasil jaringan pemain sayap, Akhyar Rashid, pada minit ke-26.

Tambah Faisal, dia juga tidak melihat kegagalannya menjaringkan gol bakal menganggu fokusnya untuk beraksi bersama skuad negara.

Malah, perkara itu hanya akan menjadikannya lebih bersemangat untuk memberikan aksi terbaik seterusnya merobek jaring lawan.

“Saya tidak menganggap perkara ini (gagal jaringkan gol) akan mengganggu fokus saya sebab dalam bola sepak, pemain penyerang pun belum tentu boleh menjaringkan gol.

"Ia hanya membuatkan saya lebih berkobar-kobar memburu gol... mungkin rezeki saya akan muncul nanti dan hanya inginkan satu gol sahaja untuk mendapat sentuhan bagi meledak gol seterusnya," katanya.

Sementara itu, Faisal turut menyifatkan skuad Harimau Malaya ketika ini merupakan skuad terbaik berbanding kejohanan Piala AFF lalu.

Perkara itu turut dibantu dengan kehadiran beberapa pemain daripada skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dilabel sebagai pemain berkualiti dan terbaik.

"Saya gembira kerana berada dalam senarai yang dipilih ketua jurulatih untuk menjalani latihan di pusat latihan JDT.

“Di sini, kami berpeluang merasai berlatih di padang latihan dan bermain di stadium yang baik. Sudah tentu benda-benda macam ni membantu kami untuk beraksi lebih baik," ujarnya.

Kredit: Sinar Harian