Perpindahan Arda Turan dari Barcelona ke Istanbul Basaksehir bakal diselesaikan pada minggu ini selepas disahkan oleh pengurus kelab dari Turki itu, Abdullah Avci.

Dia mendedahkan kedua-dua kelab kini sedang dalam rundingan dan perpindahan itu akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.

Turan bergelut untuk membarisi kesebelasan utama Barca selepas berhijrah ke Camp Nou dari Atletico Madrid pada tahun 2015 dan untuk musim ini, dia masih belum melakukan sebarang penampilan.

Kehadiran Philippe Coutinho menguatkan lagi spekulasi bahawa pemain berusia 30 tahun itu bakal menyarung jersi Basaksehir yang kini mendahului carta Liga Super Turki.

"Perpindahan Turan akan diumumkan dalam minggu ini. Ia bukan satu perkara yang mudah tetapi Arda menjadi sasaran kami sejak sekian lama dan saya harus berterima kasih kepada presiden dengan situasi ini," kata Abdullah.

Ejen Turan , Ahmet Bulut, turut mengesahkan berita tersebut.

"Arda mahu pulang ke Turki dan tidak mahu mendengar tawaran lain. Persetujuan telah dicapai bersama Basaksehir," katanya.