Kapten Selangor, Safuwan Baharudin, menganggap perebutan dalam kesebelasan utama pasukannya masih terbuka luas buat semua pemain termasuk import baru yang ditandatangani Red Giants, Reziq Bani Hani dari Jordan.

Jendela pertama perpindahan pemain Liga Malaysia yang berakhir jumaat malam menyaksikan selangor berjaya melengkapkan perpindahan Reziq Hani Bani dari kelab Jordan Al-Faisaly.

Ia sekali gus memberikan kekuatan tambahan di jentera serangan tatkala gergasi Merah Kuning itu cemerlang menutup aksi pramusim mereka dengan kemenangan besar ke atas Geylang International.


Mukahiri Ajmal dan Alvin Fortes antara yang menyerlah apabila masing-masing meledak dua gol, manakala Yohandry Orozco, Danial Asri dan Harith Haiqal masing-masing menyumbat satu gol.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Nidzam Jamil merekodkan kemenangan tanpa bolos dalam tiga perlawanan berturut-turut sejak aksi pertama Selangor Asia Challenge (SAC) sebelum ini.

"Memandangkan pemain B-23 baru pulang dan saya rasa kita tidak boleh menjangkakan mereka beri 100% kerana mereka pasti keletihan.

"Perebutan kesebelasan utama masih terbuka, sesiapapun boleh bersaing di Selangor dan apa sahaja keputusan daripada jurulatih ia adalah yang terbaik.

"Saya rasa kita bermain hampir lima perlawanan sebelum bertemu JDT, saya berharap dapat satu skuad yang boleh berdepan JDT nanti." katanya kepada Nadi Arena.