Perdana menteri sasar dana tambahan bantu matangkan pelapis Harimau Malaya
Shaiful Shamsudin
January 13, 2025 10:09 MYT
January 13, 2025 10:09 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, percaya dokongan berterusan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mampu memacu Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi di persada antarabangsa.
Semalam, Anwar mengumumkan tambahan RM15 juta lagi yang dikhususkan untuk pembangunan, sekali gus menjadikan keseluruhan RM30j bakal dinikmati Harimau Malaya -- peruntukan sekali ganda selepas pengumuman sebelumnya dalam Belanjawan 2025.
Perdana Menteri Malaysia mengharapkan dana ini mampu melahirkan lebih pemain untuk menyarung jersi negara termasuk memperkasakan skuad remaja dengan pendedahan pengalaman.
"Usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya, dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah 23 negara dan ini secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan pemain yang berpengalaman.
"Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya," katanya di Bernama.