Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Yunus Zakaria, berkata kelab itu sedia dijual dengan harga serendah RM1 bagi menyelesaikan masalah kewangan mereka.

Tambahnya, masalah kelab itu dapat diselesaikan dengan penyerahan bukti dana (proof of funds) daripada pemilik baru.

Jika perkara itu berlaku, ia sekali gus dapat mengelakkan The Bos Gaurus daripada berdepan denda Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas dikenakan penolakan tiga mata dalam saingan Liga Perdana susulan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji pemain musim lalu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Yunus berkata: "Saya tidak boleh katakan ia (hukuman) satu kejutan buat kami kerana ia satu perkara yang sudah diperingatkan dan kami juga sudah diberikan amaran oleh MFL seminggu sebelum itu.

Saya sudah bercakap dengan Stuart (Ramalingam, ketua pegawai eksekutif MFL) dan bahagian pelesenan kelab, di mana kami memberikan maklumkan perkembangan kepadanya dari hari ke hari -- sebanyak mana yang saya mampu.

"Tetapi perkembangannya tidak cukup untuk kami mendapatkan lanjutan atau untuk kami menghalang hukuman itu daripada dikuatkuasakan.

"Kesukaran kami untuk menyelesaikan masalah ini adalah apabila kami mendapat tahu dengan agak lewat mengenai ketidakupayaan kami daripada segi kewangan," katanya.

Perak mempunyai tempoh sehingga 21 April ini untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan dan berisiko untuk disingkirkan daripada Liga Malaysia seandainya gagal melakukannnya.

Mengulas mengenai perkara itu, Yunus menambah: "Kami sebagai pihak pengurusan bertungkus-lumus setiap hari untuk meliputi setiap sudut.

"Perkara pertama, saya fikir anda juga tahu bahawa kami sudah mempunyai dua pihak yang berminat untuk melabur atau membeli Perak FC.

"Salah satu daripada syarikat yang menunjuk minat itu juga sudah menghantar surat dengan menawarkan diri mereka untuk membeli Perak FC.

"Nak beli 100 peratus ekuiti Perak FC dengan jumlah RM1, kami tidak kisah, kami jual.

"Kalau nak beri kami pampasan RM200,000 atau RM300,000 kami terima sahaja.

"Yang paling mustahak dan yang paling penting buat kami adalah kekuatan dana syarikat tersebut kerana kami tidak mahu keluar daripada Perak FC untuk menyerahkannya kepada syarikat yang juga tidak berkemampuan," katanya.

*Kredit foto: Perak Football Club