Pep Guardiola bersetuju dengan penegasan Sam Allardyce setaraf pengurus kelab utama Liga Perdana Inggeris ketika pengendali Manchester City itu mempertahankan pengurus berpengalaman itu.

Leeds mengambil khidmat Allardyce yang berusia 68 tahun dalam percubaan terakhir untuk mengelak penyingkiran EPL.

Kenyataan Allardyce semalam juga mengejutkan dunia bola sepak apabila dia mendakwa 'tiada sesiapa mendahului saya daripada segi bola sepak -- bukan Pep, bukan (Jurgen) Klopp, bukan (Mikel) Arteta'.

Pengendali baharu Leeds itu akan mendapat peluang untuk menunjukkan perkara itu Sabtu ini apabila pasukannya yang diancam penyingkiran bertandang ke City yang memburu tiga mata.

Komen Allardyce dikemukakan kepada Guardiola selepas kemenangan 3-0 ke atas West Ham semalam dan menimbulkan respons positif yang mengejutkan.

"Dia betul," kata pengendali City itu. “Saya mahu berterus terang. Sekarang lihat apa yang berlaku dengan, sebagai contoh, Neil Warnock di Huddersfield.

“Sekarang ada kecenderungan untuk pengurus yang luar biasa ini, mereka telah menjadikan Liga Perdana atau pertandingan ini dalam kedudukan yang lebih baik.

“Nampaknya sekarang pengurus muda banyak memperkenalkan taktik atau apa sahaja... jadi mereka sangat bagus, mereka membantu kami menjadi seperti hari ini.

“Lihat pengurus seperti Roy Hodgson untuk Crystal Palace, apa yang telah mereka lakukan.

“Mereka benar-benar bagus, mereka mempunyai pengalaman yang luar biasa, mereka tahu permainan dengan sempurna.

“Ia akan menjadi sukar kerana dia mempunyai karisma, dia akan memberikan tekanan kepada pemain dan dia tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi seperti ini dalam persaingan mengelak penyingkiran."