Joao Felix memberi isyarat bahawa masa depannya di Chelsea bergantung kepada tiket Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Pemain antarabangsa Portugal itu tiba secara pinjaman daripada Atletico Madrid dalam jendela pertengahan musim.

Bagaimanapun, Chelsea hanya mencetak kemenangan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menewaskan Leeds United selepas 12 perlawanan sejak Tahun Baru.

Dan semalam adalah yang pertama sejak The Blues menewaskan Crystal Palace pada Januari lalu, secara tidak langsung menamatkan enam rentetan tanpa kemenangan.

Skuad kendalian Graham Potter itu ketinggalan 11 mata di belakang Tottenham yang menguasai tangga keempat bagi memburu tiket UCL musim depan.

Walaupun Joao Felix menyatakan kegembiraannya di Stamford Bridge, dia mencadangkan perpindahan tetap bergantung kepada sama ada mereka mampu mengubah nasib musim ini.

"Daripada segi adakah saya mahu kekal atau tidak, saya fikir tiada siapa yang tahu tentang masa depan. Ketika ini saya hanya mahu fokus kepada perlawanan esok," katanya dalam sidang media pra-perlawanan kedua peringkat 16 UCL menentang Borussia Dortmund, awal pagi esok.




"Selepas itu, kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Tetapi saya gembira di sini. Kelab ini sangat besar, ia menakjubkan, semua orang di belakang kelab ini sangat baik jadi ya, saya gembira berada di sini.

"Beraksi dalam UCL sentiasa berbeza. Ia adalah satu persaingan yang semua orang mahu terlibat.

"Tetapi sekarang ini fokus saya adalah kepada perlawanan UCL esok. Kami masih mempunyai banyak perlawanan yang untuk diharungi untuk ke pentas UCL musim depan. Ia belum berakhir.

"Beraksi dalam UCL adalah satu keputusan penting. Tetapi untuk masa depan, tiada siapa yang tahu jadi mari kita lihat apa yang berlaku kelak."