Pengarah Sampdoria, Carlo Osti, mengesahkan pasukan itu sedang mendapatkan Harry Winks secara pinjaman daripada Tottenham.

Graduan Akademi Spurs berusia 26 tahun itu kini kerap tersisih daripada pasukan bimbingan Antonio Conte berkenaan dan dikhabarkan mahu mencari peluang lebih baik untuk beraksi.

Memiliki 10 penampilan antarabangsa bersama England, dengan yang terakhir pada 2020, Winks hanya memulakan sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan kedatangan Yves Bissouma daripada Brighton and Hove Albion telah meningkatkan lagi persaingan di bahagian tengah pasukan itu.

Winks pada awalnya dilaporkan memburu perpindahan secara pinjaman dalam EPL tetapi memandangkan tiada tawaran daripada kelab yang sesuai, dia kemudian mengintai peluangnya di Itali.

Bercakap selepas Sampdoria tewas 0-4 kepada Salernitana, yang menyaksikan mereka hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan pertama Serie A musim ini, Osti mengesahkan bahawa Winks akan tiba di kelab itu dalam masa terdekat.

"Kami sudah ada kesepakatan dengan Tottenham, kami sedang mengenal pasti perincian akhir dengan ejen, kami harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada Sky Sport Italia.