Mauricio Pochettino berpendapat tempoh 18 bulan ketika mengendalikan Paris St Germain (PSG) membantunya untuk menangani tugas rumit bagi mengubah nasib Chelsea.

Di bawah pengurus dari Argentina itu, PSG dinobatkan sebagai juara Ligue 1 pada 2022 untuk merampas kejuaraan daripada Lille selepas dia masuk menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat di pertengahan musim.

Begitupun, dia gagal untuk memenuhi impian pemilik kelab itu untuk menjulang Liga Juara-Juara (UCL) apabila tewas kepada Manchester City pada 2021 dalam separuh akhir dan Real Madrid di peringkat 16 pada tahun berikutnya.

Pochettino dilaporkan tidak pernah menikmati kuasa penuh ke atas skuad yang diperkuatkan oleh barisan bintang itu dan sukar menjaga tingkah laku tidak menentu beberapa pemain terkenal.

Dia angkat kaki pada musim panas 2022 sebelum menerima tawaran pemilik Chelsea, Todd Boehly, pada Jun lalu.

Pochettino berkata pengalaman menguruskan juara Perancis itu dalam detik sukar membantunya sebagai jurulatih, tetapi mengakui cabaran yang dihadapinya di Stamford Bridge adalah berbeza.




“Saya rasa ia membantu daripada segi kaedah menangani sesuatu dengan cara yang berbeza-beza. Sudah tentu, pengalaman adalah aspek yang sangat penting dalam bola sepak untuk membantu anda menangani sesuatu.

“Agak sombong untuk mengatakan bahawa oleh kerana saya pernah berada di sana, saya kini mampu menguruskan segala-galanya. Tuntutan sentiasa berbeza-beza.

“Tetapi apabila anda menyuntik pengalaman di kelab yang berbeza, negara yang berbeza, budaya yang berbeza, saya fikir sebagai kakitangan kejurulatihan ia menawarkan kami kapasiti untuk membantu pemain, seterusnya kelab dalam membangunkan beberapa idea baru seperti yang kami lakukan sekarang.”