Hasrat untuk menyaksikan penampilan pertama Sergio Ramos bersama Paris Saint-Germain (PSG) sekali lagi tertangguh apabila pemain pertahanan itu dilaporkan masih perlu meneruskan sesi pemulihan kecederaan paha.

Ramos menamatkan tempoh 16 tahunnya bersama Real Madrid untuk menyertai PSG secara perpindahan percuma pada Julai lalu tetapi tidak pernah beraksi sejak kekalahan Los Blancos kepada Chelsea dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Mei lalu.

Ada laporan mendedahkan bahawa pertahanan tengah itu, yang mengikat kontrak dua tahun di Parc des Princes, akan melakukan penampilan pertamanya dalam perlawanan menentang Angers awal pagi esok tetapi PSG mengesahkan perkara itu tidak akan berlaku.

Pasukan gergasi Ligue 1 itu memberikan perkembangan terbaru mengenai keadaan Ramos, yang masih menjalani latihan secara bersendirian dan mungkin hanya dapat menyertai skuad utama mereka selepas 10 hari lagi.

Ia bermakna, dia juga akan terlepas perlawanan UCL menentang RB Leipzig awal pagi Rabu depan dan kunjungan ke laman Marseille pada 24 Oktober ini.

Dan ketika ditanya mengenai kecederaan jangka panjang pemain kebangsaan Sepanyol itu, ketua jurulatih PSG, Mauricio Pochettino, berkata dalam sidang media sebelum perlawanan: "Saya yakin dia akan kembali ke prestasi terbaiknya.

"Amat jelas bahawa semua pemain, dalam kes seperti Sergio Ramos, tidak gembira dengan situasi apabila mereka tidak dapat bermain dan berlatih dengan rakan sepasukanuntuk tempoh yang panjang.

"Dia menderita tetapi amat kuat secara mental dan dia memberikan kerjasama dengan sebaik mungkin.

"Prestasi pasukan ini sedang membantunya untuk kekal di tahap tertinggi dan penuh bermotivasi untuk menangani masalah yang dihadapinya," katanya.