Pasukan Maghribi terus melebarkan sayap kemenangan apabila meraih kemenangan besar berdepan Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 di Parc des Princes, sebentar tadi.

Skuad yang diketuai oleh pemain Paris Saint Germain (PSG), Achraf Hakimi, mengumpul enam mata penuh untuk menjadi juara dalam saingan Kumpulan B sebelum diundi bertemu AS yang merupakan naib johan Kumpulan A.

Penjaring terbanyak Liga Juara-juara Asia (ACL) musim lalu, Soufiane Rahimi, terus menjadi nadi utama pasukan The Atlas Lion susulan menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Maghribi di depan.

Pemain sayap, Illias Akhomach, menjaringkan gol kedua disusuli ayam tambatan, Achraf Hakimi, sekali gus menggandakan kedudukan menewaskan penjaga gol, Patrick Shulte.

Giliran pemain gantian, El Mehdi Maouhoub, pula menambah derita skuad AS sebelum menoktahkan kemenangan 4-0 untuk membawa Maghribi ke pusingan separuh akhir.