Paris 2024: KBS sediakan geran buat atlet profesional

Muzaffar Musa
July 4, 2024 14:07 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu sebaran media hari ini memaklumkan bahawa mereka telah menyalurkan geran bantuan kepada atlet-atlet profesional negara untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Geran bantuan berjumlah keseluruhan RM300,000 itu disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) kepada atlet-atlet profesional sukan golf dan badminton, iaitu Gavin Kyle Green dan Ashley Lau Jen
Wen daripada sukan golf, serta Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei daripada sukan badminton.
Pertandingan bagi golf dalam Sukan Olimpik kali ini akan
berlangsung dari 1 hingga 10 Ogos 2024 manakala badminton pila dari 27 Julai hingga 5 Ogos 2024.
Geran bantuan itu adalah inisiatif KBS untuk membantu meringankan beban atlet profesional negara bagi menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan, kem latihan, rakan pelatih (sparring partner) dan perkhidmatan sokongan demi memastikan persiapan serta latihan mereka dalam keadaan optimum.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam kenyataan itu berkata: “Ini adalah komitmen kami untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia, bahawa mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan ISN tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan.
"Kami mahu atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara."
Pihak Kementerian juga berharap bantuan tambahan itu sedikit-sebanyak akan mampu membantu atlet memberikan tumpuan kepada persiapan masing-masing dan memberikan persembahan terbaik mereka apabila turun mengejar kejayaan di kota Paris nanti.
#KBS #Kementerian Belia dan Sukan #Paris 2024 #Sukan Olimpik Paris