Paris 2024: Brazil perlu bangkit, kata Marta selepas tewas mengejut kepada Jepun
Muzaffar Musa
July 29, 2024 01:04 MYT
July 29, 2024 01:04 MYT
Marta menggesa Brazil untuk segera bangkit selepas tewas kepada Jepun dalam waktu kecederaan saingan bola sepak wanita Sukan Olimpik Paris 2024 hujung minggu lalu.
Pemain legenda Brazil itu melakukan penampilannya yang ke-200 bersama skuad kebangsaan berkenaan sewaktu perlawanan kedua peringkat kumpulan tetapi berdepan igauan ngeri apabila Jepun menjaringkan dua gol dalam waktu kecederaan untuk menang 2-1.
Gol Jhennifer pada minit ke-56 kelihatan akan membawa Brazil ke suku akhir tetapi mereka kini tergelincir ke tangga ketiga Kumpulan C selepas Saki Kumagai dan Momoko Tanikawa menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan Jepun.
Dengan juara dunia, Sepanyol, akan menantikan pemenang dua kali pingat perak Sukan Olimpik itu, Marta, yang akan bersara pada penghujung tahun ini, menyedari betapa pentingnya untuk mereka segera melupakan kekalahan berkenaan.
"Apa yang pasti, Jepun sudah memenangi perlawanan itu. Kami leka dalam mengawal bola dan sudah pasti ia akhirnya mengundang padah buat kami.
"Kami sepatutnya dapat meraikan kemenangan tetapi apapun, kami perlu kekal fokus.
"Tetapi ia masih belum berakhir. Kami perlu berikan segala-galanya secara berpasukan.
"Itulah bola sepak. Segalanya boleh berlaku. Masih belum ada sebarang penamat," katanya.