Paralimpik Paris: Seruan kebangkitan buat Latif

Shaiful Shamsudin
September 8, 2024 19:22 MYT
Jurulatih lompat jauh para negara, Shahrul Amri Suhaimi, melalui pengalaman paling pahit sepanjang 14 tahun mendidik Datuk Latif Romly apabila pingat emas di State de France yang seakan-akan sudah berada dalam genggaman terlepas pada saat-saat akhir.
Enggan menyalahkan takdir, sebaliknya Shahrul Amri memilih untuk berdamai dengan ketentuan selain komited untuk kembali membimbing Latif menuju prestasi terbaik.
Sejak mula menempa nama selaku atlet lompat jauh terbaik dunia saingan T20, Latif hanya tewas dua kali sejak 2019 dengan yang pertama berlaku dalam Kejohanan Dunia 2019 dan terbaru di Paris.
Namun, ketekalan itu terhenti di Paris berikutan Latif bergelut untuk mencapai catatan terpuji seperti di Brazil dan Tokyo lalu, apatah lagi dibelenggu kecederaan otot perut.
"Ini satu seruan kebangkitan untuk kami merancang empat tahun lagi.
"Russia menurunkan atlet baru dan muda, Matvei Lakushev, tetapi dalam masa sama Latif yang berusia 27 tahun ini sedang mendahului selepas lima lompatan.
"Lakushev melakukan lompatan terbaik dalam percubaan terakhirnya jadi kami terlepas peluang pingat emas.
"Pengalaman ini menjadi satu pengajaran untuknya fokus ke LA 2028," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
#Olahraga #Sukan Paralimpik Paris