Papar tifo 'Bebaskan Palestin', Menteri Perancis kritik penyokong PSG
Muzaffar Musa
November 8, 2024 11:50 MYT
November 8, 2024 11:50 MYT
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bruno Retailleau, mengkritik penyokong Paris Saint-Germain (PSG) atas keberanian mereka mempamerkan tifo gergasi "Bebaskan Palestin" sebelum perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Atletico Madrid di Parc des Princes awal pagi semalam.
Retailleau menyifatkan tindakan itu "tidak boleh diterima" sambil berkata pihaknya akan menuntut penjelasan daripada kelab itu selepas kumpulan peminat tegar mereka, Ultras Collective Paris (CUP), bertindak berani memaparkan kain rentang gergasi berkenaan.
"Saya tidak menolak apa-apa," kata Retailleau kepada Sud Radio awal pagi tadi.
“Saya ingin tahu lebih lanjut dan segera tentang bagaimana sepanduk itu boleh dibentangkan. Ketua polis Paris (Laurent Nunez) telah menjelaskan apa yang berlaku. Kami bersetuju dalam beberapa perkara tetapi saya menuntut akauntabiliti,” tambahnya.
Terdahulu, badan induk bola sepak Eropah, UEFA, memberitahu agensi berita Reuters bahawa PSG tidak akan menghadapi prosiding tatatertib kerana ia hanya melarang mesej politik yang dianggap menghina atau provokatif.
“Oleh itu, tidak akan ada kes disiplin kerana sepanduk yang dibentangkan dalam kes ini tidak boleh dianggap provokatif atau menghina secara langsung,” kata jurucakap UEFA.
Semasa perlawanan itu, penyokong PSG membentangkan satu lagi kain rentang dengan mesej: “Adakah nyawa kanak-kanak di Gaza kurang bermakna berbanding yang lain?”
"Sepanduk ini tidak mempunyai tempat di stadium ," tulis Retailleau di X.
"Saya meminta PSG memberikan penjelasan bagi memastikan politik tidak merosakkan sukan, yang perlu sentiasa menjadi sumber perpaduan," katanya, sambil menambah tindakan sedemikian dilarang oleh bola sepak Perancis dan UEFA.
"Sekiranya perkara ini berulang, kami perlu mempertimbangkan untuk melarang sepanduk buat kelab yang tidak menguatkuasakan peraturannya," katanya.