Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, yakin skuad kendaliannya itu tetap mampu beraksi mantap berdepan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa biarpun tanpa kelibat dua pemain, Ariff Aiman Hanapi Endrick Dos Santos yang dilaporkan mengalami kecederaan.

Menurut Pan-gon, berdasarkan pengalaman yang dimiliki sebagai pengurus dan jurulatih, mana-mana skuad kendaliannya tidak terlalu bergantung kepada mana-mana pemain tertentu dan mengamalkan corak permainan berpasukan.


"Saya bersimpati dengan kedua-dua pemain ini yang menanti masa untuk beraksi. Namun sepanjang pengalaman saya selama lapan tahun sebagai jurulatih dan 12 tahun selaku pengurus, bukan setiap masa saya mendapat apa (pemain) yang saya mahukan dan malah tidak selalu mendapat apa (pemain) yang saya inginkan.

"Bagaimanapun, saya tetap yakin dengan pemain sedia ada. Kita ada 25 pemain, sesiapa sahaja boleh beraksi dan kita juga bukan hanya bergantung kepada satu atau dua pemain semata-mata.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya menewaskan Turkmenistan 1-0, Khamis lalu hasil jaringan tunggal, Akhyar Rashid pada minit ke-28.

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan Harimau Malaya kini melonjak pada ranking ke-140 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tambah Pan-gon, kesemua pemain diharap beraksi mengikut DNA bola sepak Malaysia yang sentiasa memberikan tekanan hebat kepada lawan hingga memaksa mereka melakukan kesilapan.

Bagaimanapun katanya, hanya pemain yang mampu memastikan sejauh mana corak permainan sedemikian dapat dipertahankan.

"Falsafah bola sepak kita adalah untuk menyaksikan DNA bola sepak Malaysia, kita akan berikan tekanan hebat kepada mereka (Hong Kong).

"Jika boleh, kita mahu mencatatkan kemenangan seperti yang dilakukan oleh skuad bawah-22 tahun kita (yang menang 2-1 ke atas Hong Kong pada final Piala Merlion, pada Ahad)," katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Pan-gon berkata, kesemua pemain dilihat bersedia bagi mengharungi aksi berdepan Hong Kong.

"Sejak dua hari lalu, pemain telah mendapat rehat cukup dan telah melalui sesi pemulihan yang baik menjelang aksi persahabatan berkenaan.

"Kita juga berharap dapat memberikan aksi terbaik di hadapan penonton," katanya.

kredit: Sinar Harian