RAYO VALLECANO 1 SEVILLA 1

Pengurus Sevilla, Julen Lopetegui, berang dengan keadaan padang Rayo Vallecano dan mempersoalkan adakah perlawanan mereka pada awal pagi tadi sepatutnya diteruskan selepas pasukannya kehilangan mata penting.


Keputusan seri 1-1 di Vallecas itu mengekalkan Sevilla di tempat kedua tetapi mereka mungkin tercicir 10 mata di belakang pendahulu liga, Real Madrid, yang bakal berdepan Real Mallorca, awal pagi esok.

Walaupun usaha mereka untuk memberi tekanan di puncak terbantut, Lopetegui lebih khuatir dengan kualiti padang di Vallecas itu dan ia boleh memberi gambaran buruk kepada LaLiga.

"Dalam liga Sepanyol, kami tidak sepatutnya beraksi di padang sebegini. Saya katakan ini demi diri sendiri dan Rayo yang merupakan sebuah pasukan yang bercadang untuk bermain bola sepak," katanya selepas perlawanan itu.

"Ia tidak bagus untuk liga mahupun kejohanan dan ia juga tidak baik untuk kesihatan pemain. Keadaan rumput di sini amat teruk."




Bagaimanapun, kritikannya tidak terhenti setakat itu.

Pengurus berusia 55 tahun itu juga mengecam pengadil, Juan Martinez Munuera, kerana membatalkan satu jaringan dan sepakan penalti Rafa Mir selepas campur tangan video bantuan pengadil (VAR).

Sepakan penalti pada minit ke-79 itu dibatalkan tatkala Sevilla rancak memburu gol kemenangan pada lewat permainan yang menyaksikan Mir dijatuhkan oleh Alejandro Catena tetapi pengadil mengubah keputusan awalnya.

"Saya terkejut dengan keputusan ini yang tidak akan berlaku dalam perlawanan yang lain dan saya keliru dengan kriteria VAR.

"Ia perlu lebih dijelaskan lagi. Saya fikir isu ini perlu diselesaikan tetapi dalam masa sama, kami telah pun kerugian mata."