Ong Ewe Hock tagih kerjasama lebih erat BAM-kelab profesional

Shaiful Shamsudin
March 1, 2023 21:12 MYT
Pemenang pingat gangsa Piala Dunia 1997, Ong Ewe Hock, selaku Panel Penasihat Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap semua pemain akan mendapat layanan sama rata.
Ewe Hock turut mengesahkan beberapa pandangan telah dikongsi dalam mesyuarat pertama, kelmarin.
"Banyak yang perlu tingkatkan. Banyak cadangan sudah kami suarakan dan terpulang kepada mereka untuk hadamkannya.
"Mesyuarat seterusnya saya jangka tidak lama lagi.
"Ia (bagi menentukan) KPI (petunjuk prestasi utama) ke atas jurulatih dan pemain.
"Apa yang penting kami akan pantau keputusannya. Kami akan suntikan beberapa (cadangan yang boleh) berikan kebaikan," katanya dalam pelancaran Piala Ong Ewe Hock hari ini.
Ketika ini, badan induk itu juga perlu memberi ruang dan peluang buat pemain-pemain profesional untuk bersama menjalani latihan agar kelompok pemain lebih ramai dan pemilihan menjadi lebih sengit.
"Kerjasama antara BAM, kelab profesional dan bekas pemain adalah demi manfaat badminton negara, untuk kepentingan negar juga.
"Negara lain juga begitu.
"Perlu tingkatkan lagi kerjasama di antara BAM dan kelab profesional kerana ia pentas melahirkan lebih ramai pemain.
"Lebih ramai pemain maka keputusan mungkin yang akan dicapai juga lagi bagus.
"Selagi ia mewujudkan persaingan sihat, tiada masalah," katanya lagi.
Kejohanan Piala Ong Ewe Hock itu bakal berlangsung pada 11 dan 12 Mac ini di Universiti Sains Malaysia (USM), Gelugor, Pulau Pinang.
#badminton #BAM
;