Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani, mengambil inisiatif sendiri bagi mempersiapkan diri menghadapi saingan Liga Perdana musim ini.

Penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu itu menyertai beberapa perlawanan sosial bagi memastikan tahap kecergasannya berada di tahap terbaik dan sentuhannya tidak berkarat.

Dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, pemain berusia 27 tahun itu berkata: "Saya perlu mempersiapkan diri saya dahulu untuk musim baru ini kerana kita tidak tahu saingan tahun ini akan sama seperti tahun lalu atau tidak -- pasukan-pasukan lain turut melakukan persediaan.

"Jadi, saya mempersiapkan diri saya agar menjadi lebih baik dan jaringan mungkin akan datang seandainya saya lebih berusaha."

Mengenai keadaan terkini Kelantan FC, pemain yang menjaringkan sembilan gol dalam Liga Perdana 2021 itu menambah: "Kelantan FC telah mengambil beberapa pemain daripada Liga Super musim lalu dan daripada apa yang saya lihat, kami mempunyai pemain yang berkualiti untuk memberikan saingan kepada pasukan lain dalam Liga Perdana musim depan."