Eddi Nketiah memberi kredit kepada rakan sepasukannya selepas menjaringkan hatrik pertamanya bersama Arsenal, sekali gus memastikan kemaraan dalam separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) dengan menewaskan Sunderland awal pagi tadi.

Penyerang muda itu menemui sasaran sebanyak tiga kali dalam memacu kemenangan 5-1 The Gunners di Stadium Emirates.

Nketiah merembat masuk bola muntah susulan tandukan Rob Holding dalam babak pertama sebelum menyudahkan umpanan lintang Nuno Tavares dan Nicolas Pepe dalam babak berikutnya.

Pemain berusia 22 tahun itu terus menyerlah dalam saingan Piala EFL, di mana dia kini telah menjaringkan 10 gol daripada sembilan penampilan -- tujuh daripadanya daripada lima perlawanan di laman sendiri.

Dan dia berharap agar aksi cemerlangnya dalam kejohanan itu dapat membuka peluangnya untuk lebih kerap beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia berkata kepada Sky Sports: "Ia perasaan yang hebat. Saya mahu mengucapkan terima kasih banyak kepada rakan sepasukan saya.

"Saya menerima bantuan gol yang amat baik hari ini, saya hanya perlu berada di tempat yang betul.

"Amat hebat untuk mendapatkan hatrik pertama saya bersama skuad senior Arsenal.

"Ini adalah kejohanan di mana saya diberikan peluang untuk bermain sebagai kesebelasan utama.

"Setiap kali saya diminta untuk bermain, saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan. Saya sentiasa bersedia jika pengurus memerlukan saya.

"Saya terdesak untuk bermain. Apa yang boleh saya lakukan adalah terus bekerja keras dan berharap. Saya akan mendapatkan peluang itu," katanya.