Javier Mascherano percaya rakan sepasukannya, Neymar, tidak akan terkesan dengan spekulasi perpindahan untuk menyertai kelab Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain kebangsaan Brazil itu dilaporkan sebagai sasaran utama PSG untuk mengetuai jentera serangan skuad kendalian Unai Emery untuk kembali merebut takhta liga yang dimenangi Monaco, musim lalu.

Bagaimanapun, setiausaha teknikal Barcelona, Robert Fernandez, menjelaskan ia merupakan satu penghijrahan yang mustahil kerana PSG perlu membayar klausa yang bernilai EURO222 juta (RM1.1b).

Mascherano mengesahkan bahawa penyerang itu kekal bersama Barca untuk menghadapai musim baru di Sepanyol.

"Dia merupakan pemain yang muda dan saya berharap dia akan kekal bersama Barcelona untuk musim-musim akan datang," katanya.

"Neymar merupakan pemain yang penting buat pasukan. Dia adalah masa depan kelab dan kami berharap dapat terus meletakkan harapan kepadanya.

"Dia sudah biasa dengan tekanan dan menerima kritikan. Khabar angin melibatkan Neymar akan sentiasa mengelilinginya."