Neymar pelu jalani pembedahan selepas cedera ACL sewaktu wakili Brazil

Muzaffar Musa
October 20, 2023 12:08 MYT
Bintang Brazil, Neymar, perlu menjalani pembedahan segera selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan meniskus di lutut kirinya, demikian disahkan kelabnya, Al-Hilal.
Pemain berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan ketika Brazil tewas 0-2 di tangan Uruguay pada Rabu lalu.
Selepas menerima terjahan daripada pemain Uruguay, Nicolas de la Cruz, Neymar kelihatan terbaring di tanah dan memegang lututnya menjelang separuh masa.
Dia kemudian mendapat rawatan segera selepas beberapa minit sebelum kelihatan menangis ketika diusung keluar padang.
"Daripada ujian yang dijalani Neymar, dia disahkan mengalami ACL dan koyak meniskus di lutut kirinya," tulis kelab itu dalam satu kiriman X.
"Dia akan menjalani pembedahan dan program rawatannya akan ditentukan kemudian. Kembali dengan lebih kuat @neymarjr."
Kelab itu tidak meletakkan anggaran tempoh yang diperlukan bagi pemulihan Neymar tetapi kecederaan ACL memerlukan tempoh berbulan-bulan untuk benar-benar pulih, sekali gus menggugat peluang penyerang itu untuk mewakili Brazil dalam Copa America pada Jun tahun depan.
#bola sepak #Neymar #Brazil #Al-Hilal
;