Pertembungan Newcastle United dengan Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi tadi berakhir dengan sepakan penalti penuh kontroversi, mengakibatkan kelab England itu kempunan meraih kemenangan penting di kota Paris dan sebaliknya dikerah berpuas hati dengan keputusan 1-1.

Sepanjang 90 minit, The Magpies kelihatan hampir pasti memungut tiga mata penuh dalam saingan yang dilabelkan sebagai ‘Kumpulan Maut’, malangnya harapan itu punah gara-gara campur tangan sistem VAR dan keputusan menghairankan daripada pengadil.

Menerusi siaran ulangan VAR pada detik-detik akhir perlawanan, pengadil Szymon Marciniak menyaksikan hantaran pemain sayap PSG, Ousmane Dembele, ditampan oleh dada pemain pertahanan Newcastle, Tino Livramento, sebelum bola hinggap sebentar, sepertinya tanpa sengaja ke siku pemain itu.

Dalam situasi sebegini, pengalaman serta ilmu pengetahuan pengadil harus digunakan sepenuhnya dalam menentukan keputusan yang diambil, dan sepakan penalti adalah keputusan tersebut.

Menerusi pemerhatian, gerakan siku itu adalah satu refleks dan bukannya dilakukan untuk mengubah haluan bola, maka seharusnya dianggap sebagai aksi yang tidak disengajakan, tetapi pendapat pengadil adalah sebaliknya.

Kylian Mbappe yang dikawal ketat sepanjang perlawanan menyempurnakan tugas dan tamatlah satu lagi episod dalam kumpulan ini.

Statistik The Guardian menunjukkan PSG mendominasi perlawanan buat jangka masa panjang, dengan 73% penguasaan bola dicatatkan, berserta enam percubaan tepat.



Malangnya, mereka berhadapan dengan penjaga gol, Nick Pope, yang beraksi cemerlang menghalang peluang-peluang keemasan daripada Dembele dan Bradley Barcola antaranya.

Newcastle pula membuka tirai jaringan seawal minit ke-24 gara-gara kegagalan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma, untuk menampan bola dengan kemas, menghadiahkan peluang untuk Alexander Isak menolak bola masuk dengan mudah.

Rata-rata sumber media menghujani pujian terhadap Newcastle atas aspek betapa ketatnya barisan pertahanan mereka serta menunjukkan aksi serangan balas pantas yang berbahaya.

Miguel Almiron dan Anthony Gordon tidak henti-henti menggempur bahagian sayap manakala Joelinton dan Bruno Guimaraes teguh mengawal barisan tengah.

Disebabkan krisis kecederaan Newcastle yang mengetepikan sehingga 10 pemain senior, pengurus pasukan, Eddie Howe, membuat keputusan berani untuk tidak melakukan walau satu pertukaran pemain pun sepanjang perlawanan – percaturan yang begitu hampir membuahkan hasil.

Sebagaimana gah sekalipun reputasi pasukan serta pemain-pemain bintang PSG, Newcastle telah membuktikan mereka lebih daripada mampu untuk berdiri sebagai pesaing yang sama tarafnya dengan pasukan-pasukan elit Eropah yang lain.

Untuk mara ke pusingan seterusnya, mereka wajib menumpaskan Milan di St. James Park dalam perlawanan terakhir kumpulan serta berdoa agar Borussia Dortmund tidak tewas di tangan PSG.

Misi yang sukar tetapi tidak sesekali mustahil.