NBA: James optimis Lakers masih mampu mencabar
Shaiful Shamsudin
March 2, 2022 02:41 MYT
March 2, 2022 02:41 MYT
LeBron James menegaskan Los Angeles Lakers masih mampu menamatkan musim mereka dengan cemerlang walaupun mengalami kekalahan keenam dalam tujuh perlawanan, semalam.
Lakers tewas 104-109 kepada Dallas Mavericks di Crypto.com Arena, semalam, untuk menghuni tangga kesembilan Persidangan Barat.
James memimpin pasukannya menerusi kutipan 26 mata, satu mata lebih banyak daripada bintang Mavs, Luka Doncic, tetapi ia belum cukup buat wakil tuan rumah itu mengelak prestasi buruk mereka daripada berterusan.
Tetapi di sebalik pergelutan Lakers itu, James belum bersedia untuk mengangkat bendera putih dalam baki kempen 2021-22 memandangkan masih ada 21 perlawanan untuk diharungi.
"Kami masih mempunyai perlawanan untuk dimainkan," katanya kepada pemberita.
"Selagi anda tidak memukul, memenggal kepala dan menanam saya di kedalaman 12 kaki, maka saya masih memiliki peluang. Jadi itulah bekalan keyakinan saya.
“Jelas sekali di penghujung harinya, kami perlu datang ke mari untuk memenangi perlawanan dan kami perlu beraksi lebih baik lagi.
"Tetapi selagi kami masih mempunyai lebih banyak perlawanan untuk diharungi, kami sepatutnya mempunyai peluang.
"Saya rasa teruk sekarang. Tetapi esok adalah hari yang baru dan saya akan bersedia buat Clippers. Hanya itu yang bermain di minda saya. Itulah mengenai diri saya."
James terlepas 17 perlawanan musim ini akibat kecederaan tetapi pemain berusia 37 tahun itu berazam menggunakan peringkat akhir musim ini sebagai peluangnya untuk berehat.
"Satu-satunya cara untuk kembali bertenaga ialah dengan berehat," katanya.
"Tetapi saya tidak mempunyai banyak kesempatan untuk berehat. Saya perlu menunggu hingga musim ini berakhir."